Thursday, June 16, 2011

NOSTALGIA GPK DI SMK JENGKA 2

Nostagia Guru Penolong Kanan
Yahya bin Zainal Abidin


Saya ingin menyingkap kembali kenangan manis sewaktu bertugas di SMK Jengka 2. Saya bersyukur mendapat peluang berkhidmat di sana. Rupa-rupanya pengalaman itu sangat tinggi nilainya. Sebagai Guru Penolong Kanan, saya adalah orang penting kepada Pengetua. Saya adalah rakan setugas yang rapat dengan guru-guru. Saya juga berhubung rapat dengan pekerja dan Jaga. Saya berjaya merapatkan diri dengan masyarakat setempat. Banyak masalah kerja berjaya diselesaikan. Kerap kali kami melaksanakan tugas yang mencabar. Ini semua adalah untuk manfaat pelajar. Pendek kata, otak kami sentiasa berfikir untuk melepaskan segenap rintangan yang datang. Kami bekerja dalam satu pasukan yang padu. Kami ada masa gembira bersama. Kami membentuk pasukan berkunjung keluar mencari pesaing dan sahabat. Kami juga mengharungi sungai, tasik dan laut. Saya berasa sangat seronok bersama rakan satugas. Rasa letih, jemu dan sunyi terubat bila terbina kemesraan melalui aktiviti yang menyeronokkan . Kami memperolehi kemenangan. Semua itu adalah satu nostalgia yang tidak mungkin datang buat kali kedua.

Tanggal 1 Julai 1985 saya ditukarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2 sebagai Guru Penolong Kanan. Seronok juga dapat jawatan yang ada nama walau pun gaji tidak bertambah. Pada ketika itu tiada elaun GPK. Saya seolah-olah lari dari bandar ke kawasan pedalaman yang serba kurang. Semasa di Jerantut, elektrik dan air memang tidak menjadi masalah. Hendak membeli belah, boleh berjalan kaki sahaja ke bandar. Kini elektrik hanya pada waktu malam sahaja. Rumah guru mendapat elektrik yang dibekalkan oleh generator asrama. Rumah enjin itu hanya pada jarak 50 meter sahaja dari rumah saya. Bunyinya sangat menganggu. Kadang-kadang asap hitam yang keluar dari ekzos beterbangan masuk ke dalam rumah. Jalan masuk ke rumah guru masih tanah merah. Apabila hujan, tapak kasut terlekat tanah hingga seinci. Terasa sangat berat apabila melangkah. Air adalah masalah utama di Felda Jengka 2. Dalam setiap minggu memang ada gangguan air. Saya terpaksa menyimpan air dalam kolah besar. Ada kalanya sampai seminggu bekalan air terputus. Yang paling menderita ialah pelajar yang tinggal di asrama. Selalulah pelajar asrama dibenarkan pulang ke rumah. Mereka terpaksa membawa beg besar untuk pulang ke kampung.

Pengetua pada ketika itu ialah Encik Abdul Aziz bin Abdullah. Pengetua melantik saya menjadi Ketua Warden asrama. Semakin bertambahlah tanggungjawab saya. Pengetua berpesan supaya saya mencari jalan penyelesaian masalah asrama. Saya tidak pernah rasa menyesal sampai ke tempat ini. Sebenarnya kesukaran seperti ini memang pernah saya tempuh semasa kecil dahulu. Malah lebih teruk dari situasi sekarang. Tapi tidaklah bermakna saya mahu kembali ke situasi itu. Sebaliknya saya mula memikirkan bagaimana hendak menghadapinya. Saya dapat merasakan situasi sekarang ini sangat mencabar. Dalam pada itu saya sangat bernasib baik kerana isteri tidak pernah menyusahkan saya. Waktu itu kami ada dua orang anak kecil. Segala urusan membawa anak ke klinik, membeli barang-barang dapur dan menghantar anak ke rumah pengasuh
semuanya dilakukan oleh isteri saya. Bila saya renungkan betullah perpatah Inggeris mengatakan “Beside a successful man is a good woman”.

Kerap juga saya meminjam lori Toyota bernombor CU 9810 kepunyaan Abang Long untuk mengangkut air dari Sungai Jempul untuk kegunaan pelajar asrama. Ada kalanya saya sendiri terpaksa memandu lori, di belakang ada tong drum dan beberapa orang pelajar lelaki yang berdiri. Saya lihat pelajar sangat suka naik lori. Mereka bergotong royong mengangkut air dalam baldi dari sungai dan dicurahkan ke dalam tong drum. Selepas mengangkut air ke dalam lori kami mandi di sungai yang cetek itu sepuas-puasnya. Selepas beberapa kali memandu lori saya rasa sangat letih dan bekalan air yang diperolehi masih tidak mencukupi. Saya mendapat idea baru iaitu mahu membina telaga besar yang dilengkapi dengan pam penyedut dan disambung terus ke asrama melalui saluran paip. Saya berbincang dengan Pak Yatim untuk membina telaga. Pak Yatim ialah seorang peneroka di Jengka 2. Rumahnya hampir dengan asrama. Hujung tanahnya terdapat lembah yang ada sumber air. Pak Yatim seorang yang pemurah dan memahami masalah yang kami hadapi. Saya juga mendapat kerjasama JKR Jengka 2 untuk menggunakan khidmat jentera pengorek. Saya masih ingat lagi peranan yang dimainkan oleh Encik Ayub. Encik Ayub adalah ahli jawatan kuasa PIBG. Beliau adalah pekerja di JKR Jengka 2. Saya dapati Encik Ayub sangat mesra dengan rakan setugasnya tidak mengira pangkat. Encik Ayub menjadi penghubung antara sekolah dan JKR untuk mendapatkan khidmat jentera yang diperlukan. Asrama juga mendapat peruntukan dari Jabatan Pelajaran Negeri untuk membeli bahan-bahan binaan untuk membina telaga tersebut. Kali ini penghuni asrama sudah tidak perlu pulang ke kampung lagi jika bekalan air terputus. Bekalan air dari telaga boleh terus meluncur masuk ke dalam kolah di asrama.

Beberapa hari selepas melapor diri sebagai GPK, Pengetua meminta saya menyelesaikan perbezaan 10 sen antara Penyata Bank dan Buku Tunai. Saya berhadapan dengan satu tugas baru yang mana saya tidak ada pengetahuan sama sekali, seperti tong kosong. Saya meminta kerani menerangkan tatacara kewangan dan pembayaran. Kerani itu sendiri telah buntu bagaimana terdapat perbezaan tersebut. Mulai hari itu baru saya tahu adanya dokumen seperti Borang Pesanan, Invoice, Buku Tunai, Penyata Bank, Baucher, Buku Cek dan Buku Daftar Bil. Selepas menyemak beberapa dokumen barulah saya faham aliran kerja sehingga cek ditunaikan dan penutupan akaun buku tunai setiap akhir bulan. Kini saya bertindak sebagai auditor yang tidak bertauliah. Selepas menyemak semua dokumen, akhirnya saya berjumpa dengan punca kesilapan. Kesilapannya ialah nilai cek yang dikeluarkan kurang 10 sen daripada nilai dalam baucher dan invoice. Maka terjadilah perbezaan antara penyata bank dan buku tunai. Bermula daripada sifar, kini saya telah tahu prosedur dan pengurusan akaun sekolah. Bagus juga Pengetua memberi tugas itu kepada saya. Pengetua mengucapkan tahniah kepada saya. Pengetua berkata, “Awak lulus ujian pertama”.

Saya diberi tugas mengajar Fizik tingkatan 4 dan 5. Saya suka mengajar mata pelajaran ini kerana boleh melakukan banyak eksperimen. Saya dapati makmal sains masih kekurangan banyak alat radas. Saya mahu melakukan eksperimen menggunakan kebuk kabus untuk melihat kesan pancaran radioaktif. Saya dapati tiada kebuk kabus di makmal sekolah ini. Saya memang selalu melakukan eksperimen itu semasa di sekolah lama. Saya berasa sangat sukar memahamkan pelajar jika menerangkan secara bercakap sahaja. Oleh itu saya memohon Pengetua menulis surat kepada Pengetua SMK Jengka Pusat untuk meminjam alat radas yang diperlukan. Saya berhubung terus dengan Guru Kanan Sains sekolah itu. Beliau ialah cikgu Abdul Rahman bin Nansok. Cikgu Raman sangat baik dan sedia menolong. Bukan kebuk kabus sahaja dapat malah banyak lagi alat radas yang lain. Saya sangat berterima kasih kepada Encik Othman bin Busu (Pengetua) dan cikgu Abdul Rahman bin Nansuk yang banyak membantu kami.

Untuk menjalankan eksperimen itu mesti ada ketulan ais kering iaitu ketulan gas karbon dioksida (CO2) yang dimampatkan. Gas CO2 yang dimampatkan menjadi sangat sejuk. Ketulan CO2 itu diletakkan di bahagian bawah kebuk kabus itu. Serentak dengan itu permukaan plastik lut sinar di permukaan atas digosok dengan kain polistrin. Beberapa saat lepas itu nampak beberapa jalur putih yang lurus seolah-olah berpunca dari sumber radioaktif itu. Itu ialah kesan gerakan zarah alfa. Zarah alfa melanggar molekul air menyebabkan ia terkondensasi sepanjang gerakannya. Selepas tunjukcara itu saya suruh setiap kumpulan yang terdiri daripada empat orang pelajar menjalankan eksperimen masing-masing. Saya nampak pelajar sangat seronok menjalankan eksperimen itu. Ada yang berjaya melihat hasilnya tapi ada juga yang hanya setakat dapat memegang ais kering sahaja.

Sungguh tidak disangka selepas 18 tahun berlalu saya berjumpa dengan seorang guru yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup di sebuah sekolah menengah di kawasan Jengka. Beliau ialah Zahid bin Aziz dulu pernah belajar Fizik dengan saya. Zahid menceritakan pengalaman menjalankan eksperimen kebuk kabus semasa belajar Fizik. Dia kata sangat seronok menjalankan eksperimen itu. Betullah perpatah yang saya tokok tambah berbunyi;


Bila saya dengar saya ragu dan akhirnya lupa.
Bila saya lihat saya ingat tetapi akhirnya tertanya-tanya.
Bila saya buat saya faham sampai bila-bila.


Apabila mahu melakukan eksperimen gerakan troli, mesti menggunakan jangka detik. Jangka detik hanya akan bergetar apabila ada tenaga elektrik. Saya pun mengajak Zainal dan Hamid menghidupkan enjin disel. Mereka berdua adalah tukang kebun yang rajin dan suka menolong saya. Zainal yang berbadan tegap itu memutarkan enkol dengan sekuat hati. Apabila putaran semakin laju, Hamid yang kurus itu pun menolak cok ke hadapan, enjin pun hidup. Setiap kali mahu menjalankan eksperimen menggunakan tenaga elektrik saya mesti cari Hamid dan Zainal. Sekali sekala saya ajak Hamid dan Zainal minum teh di kantin. Sewaktu minum saya sempat bertanya masalah yang berkaitan dengan tugas yang mereka hadapi.






Buka kelas tingkatan enam rendah sastera

Selepas beberapa bulan berada di Jengka 2 saya kenal ramai peneroka di sana. Ada antaranya mengatakan ramai anak mereka tidak meyambungkan pelajaran ke tingkatan enam. Kelas tingkatan enam hanya ada di Jerantut, Temerloh atau Maran. Ramai bapa tiada kemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah di luar. Pada waktu itu harga kelapa sawit sangat murah. Saya bawa cerita itu ke pengetahuan Pengetua. Pengetua menyuruh saya membuat kertas kerja cadangan membuka kelas tingkatan enam di sekolah ini. Kertas cadangan dihantar ke Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Usaha kami mendapat kelulusan Jabatan. Pada tahun 1987 kelas tingkatan enam rendah yang pertama dibuka di sekolah ini. Ini adalah kelas tingkatan enam yang pertama di sekolah luar Bandar di negeri Pahang. Kini semua pelajar yang layak berpeluang menyambung pelajaran tanpa pergi ke sekolah yang jauh. Banyak cabaran yang terpaksa dihadapi.

Yang pertama ialah tidak cukup guru terlatih,. Untuk mengatasi masalah itu saya terpaksa meneliti keputusan peperiksaan STP dan ijazah beberapa orang guru sementara. Saya dapati Zohari memang cemerlang mata pelajaran Ekonomi semasa STP dan ijazahnya ialah bidang Ekonomi. Saya pujuk dia agar mengajar kelas tingkatan enam. Saya pujuk Julia yang juga guru sementara mengajar Sejarah Asia Tenggara. Saya memberitahu Julia, “dalam sekolah ini keputusan mata pelajaran Sejarah STP awaklah yang paling baik. Oleh itu awaklah orang yang palik layak.” Tersengih aja Julia mendengar pujian saya itu. Beberapa hari selepas kelas dimulakan saya bertanya Rashid bagaimana belajar dengan cikgu Zohari dan cikgu Julia. Dia kata sangat bagus. Kini Rashid telah menjadi guru berijazah mengajar Pengajian Perniagaan di SMK Afzan, Chenor. Julia memang berminat jadi guru. Kini Julia telah jadi guru Kanan dan kembali semula mengajar di SMK Jengka 2. Sementara Zohari lebih berminat kerja sendiri. Dia sangat menghayati pelajaran ekonomi yang dipelajarinya. Saya berharap Zohari akan menjadi peniaga yang berjaya satu hari nanti. Masalah yang kedua ialah ketiadaan buku teks. Pengetua menghubungi sekolah lain untuk meminjam buku yang berlebih di sekolah mereka. Untuk mempercepatkan kerja saya sendiri pergi ke SMK Temerloh, SMK Jerantut, SMK Maran dan SMART Kuantan untuk mendapatkan buku yang diperlukan. Nasib baiklah semua pengetua di sekolah itu saya kenal. Segala urusan menjadi mudah. Di Temerloh saya jumpa cikgu Hamidah. Di Maran saya jumpa cikgu Zamli Muda. Di Jerantut saya jumpa cikgu Ahmad Kamal. Di Kuantan saya berjumpa dengan cikgu Zainudin Jumaat.

Setelah sebulan kelas berjalan datang borang biasiswa pra-universiti dari Kementerian Pelajaran. Saya edarkan borang itu kepada semua pelajar. Borang yang siap diisi dihantar ke KPM. Akhirnya hanya satu pertiga sahaja yang berjaya. Saya suruh pelajar yang gagal memperolehi itu membuat rayuan. Saya berbincang dengan mereka untuk menulis alas an yang logic. Selepas menghantar rayuan saya dapati beberapa orang berjaya mendapat biasiswa ini. Saya suruh yang gagal itu merayu lagi. Yang pentingnya jangan putus asa. Selepas merayu sebanyak lima kali akhirnya semua pelajar mendapat biasiswa. Ini adalah satu keistimewaan pelajar tingkatan 6 rendah di sekolah ini. Setiap orang mendapat biasiswa pra-universiti bernilai RM45 sebulan.

Saya menyedari buku rujukan tingkatan 6 boleh dikatakan tiada di dalam perpustakaan. Untuk mengatasinya pihak sekolah berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membeli buku rujukan yang diperlukan. Saya letakkan buku-buku itu di dalam almari yang khas di kelas mereka. Saya katakan kepada mereka, “Tiada sekolah lain seperti kita sekarang”. Kami tidak mahu mereka tercicir kerana menyambung pelajaran di sekolah ini. Kami mahu mereka mendapat yang lebih baik. Walau bagaimanapun mereka tiada contoh. Merekalah yang akan menjadi model kepada yang junior. Adatlah anak sulung. Saya lihat pelajar sungguh berazam untuk lulus peperiksaan STPM pada tahun hadapan. Apabila keputusan keluar ternyata pelajar sangat gembira. Ramai yang layak masuk U. Sewaktu saya meninggalkan sekolah ini keputusan STPM belum keluar lagi. Selepas beberapa bulan saya terbaca dalam surat khabar bahawa keputusan STPM Jengka 2 terbaik di negeri Pahang. Tepat sekali seperti yang dirancang memang menjadi kenyataan.


Sentuhan Pengetua
Masyarakat sekitar turut membantu.

Encik Rahim Mohamed (kini bergelar Dato’) adalah pengetua ketiga sejak saya berada di sini. Kepimpinannya sungguh istimewa. Beliau sering mrngingatkan bahawa hubungan yang baik dengan pengurusan felda dan masyarakat banyak memudahkan kerja guru. Pengetua sentiasa menghadiri mesyuarat bulanan JKKR. Jika pengetua tidak boleh hadir, saya diminta hadir. Saya berpeluang berkenalan dengan pemimpin peneroka dan staff Felda Jengka 2. Pengurus Felda Jengka 2 waktu itu ialah Encik Zainal. Beliau sentiasa memberi pertolongan kepada sekolah. Saya masih ingat, satu ketika semua mesin rumput sekolah rosak, ada yang sedang dibaiki. Encik Zainal meminjamkan mesin rumput pejabatnya selama seminggu.


Bina padang

SMK Jengka 2 tiada padang. Selama ini kami menumpang padang SK Jengka 2. Pengetua mencadangkan agar kami memiliki padang sendiri. Kebetulan JPNP telah menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk projek pembinaan padang secara bergotong royong. Masalahnya ialah sekolah kami memang tiada ruang lagi untuk membina padang. Sekeliling sekolah adalah rumah peneroka dan rumah pekerja felda. Kami kemukakan hasrat mahu membina padang kepada pengurus felda. Kebetulan di sebelah barat sekolah terdapat tiga buah rumah buruh felda. Saya mencadangkan kawasan itu dijadikan padang. Kami telah berbincang panjang dengan Pengerusi PIBG, Encik Yaakub Mahadi. Beliau sangat setuju dan mencadangkan kepada pengurus agar rumah buruh felda itu dipindahkan ke tapak lain. Rupa-rupanya pengurus bersetuju menyerahkan kawasan itu kepada sekolah. Saya anggap ini adalah satu pengorbanan besar pengurusan felda kepada sekolah. Faedahnya akan dinikmati oleh anak-anak peneroka juga. Mengikut perkiraan JKR, kerja menyiapkan padang itu hampir mencecah RM200,000. Pihak mereka menganggap peruntukan sebanyak RM50,000 adalah mustahil untuk menyiapkan padang di atas permukaan berbukit dan berpaya itu. Kami tidak hiraukan pandangan itu. Untuk memulakan tugas berat ini, kami meminta khidmat pelukis pelan untuk menyediakan plan kontor rupa bumi asal dan bentuk permukaan padang yang akan dibina. Seterusnya kami berjaya mencari kontraktor yang sanggup melalui satu sebut harga. Kontraktor itu kata asalkan boleh bayar gaji pekerja dan dapat tampung duit minyak kenderaan sahaja cukuplah. Kontraktor itu mengatakan jentera tolak tanah tidak ada kerja beberapa bulan in, maka bolehlah dia Bantu sekolah. Kerja utama ialah menarah lereng bukit dan menambun kawasan paya hingga menjadi permukaan yang rata.

Saya menyangka kerja akan berjalan lancar. Rupanya banyak halangan. Sewaktu jentolak mahu memulakan kerja, seorang peneroka menahan jentolak itu dengan mengacukan parang panjang kepada pemandunya. Peneroka itu meminta ganti rugi terhadap pokok pisang dan anak durian yang ditanam di atas tanah felda itu. Untuk mengelakkan pertikaian, saya menasihatkan kontraktor menghulurkan pelincirnya. Kontraktor terpaksa akur. Beberapa hari lepas itu saya terkejut besar bila pemandu jentolak berlari mundar mandir masuk ke rumah saya. Dia dalam keadaan ketakutan. Dia kata ada orang kampung memegang parang mengejarnya. “Nasib baik boleh duduk dalam rumah cikgu, kalau tidak habislah saya”. Pemandu itu terlanggar dua orang peneroka yang sedang menunggang motosikal. Penunggang itu cedera dan mendapat beberapa jahitan. Saya terpaksa menjadi orang tengah. Lagi sekali pertikaian ini diselesaikan dengan wang. Semakin bertambahlah wang hangus yang keluar dari poket kontraktor itu. Saya khuatir projek ini akan terbengkalai.

Satu hari kontraktor itu berjumpa saya menyatakan hasrat mahu menarik diri kerana mengalami kerugian besar. Saya memujuk supaya kerja mesti diteruskan. Saya beritahu, “Ini adalah maruah awak sebagai seorang usahawan terkenal di Sungai Jerik. Kalau awak menarik diri, saya juga turut malukepada masyarakat. Mereka yang tak terpilih dalam sebut harga itu akan mengutuk sekolah kerana memilih kontraktor yang tidak berwibawa.”
Saya menambah lagi, “Mana kita nak letak muka?”

Selepas melalui berbagai ujian dan cabaran akhirnya padang itu berjaya disiapkan mengikut pelan. Kontraktor mengatakan mengalami kerugian. Saya tidak ambil pusing tentang kerugian dia. Apa yang saya fikirkan ialah menjalankan gotong royong menanam rumput pula. Kami berjaya mengembelingkan tenaga PIBG mengajak ibu bapa menanam rumput. Saya sangat gembira bila hujan turun. Enam bulan selepas itu baru padang itu dipotong rumputnya. Kini padang sudah mula menerima pelanggan. Syukur kami mendapat padang untuk aktiviti sukan.


Tercabar, mahu belajar komputer.

Hujung tahun 1987, saya berpeluang menghadiri kursus tiga bulan tentang pengukuran dan penilaian. Saya dan peserta lain berebut-rebut menggunakan mesin taip untuk menyiapkan tugasan. Seorang peserta, Aziz namanya dengan bergaya menaip menggunakan komputer peribadinya. Dia kata menggunakan mesin taip telah ketinggalan zaman. Saya sungguh tercabar apabila mendengar kata-kata itu. Saya tidak sabar lagi untuk belajar komputer. Pada waktu itu saya terdengar ada beberapa buah sekolah menengah telah mula menggunakan komputer untuk menyediakan lembaran gaji bersatu. Antara tokoh guru yang mula menggunakan komputer ialah Tuan Haji Jusoh bin Hasan. Ketika itu beliau adalah pengetua SMK Padang Tengku, Kuala Lipis. Saya memberanikan diri mahu belajar daripada Haji Jusoh. Saya pergi ke rumahnya di Padang Tengku dua hari belajar asas Lotus Semphoni. Haji Jusoh adalah seorang yang murah hati dan sedia membantu. Selepas mendapat sedikit ilmu saya yakin boleh mendalami lagi dengan cara belajar sendiri. Seterusnya saya pun berbincang dengan Pengetua untuk membeli sebuah komputer untuk kegunaan urusan sekolah. Pengetua pada ketika itu ialah Encik Abdul Rahim bin Mohamed (kini Dato’ Abdul Rahim, bekas Pengarah Pelajaran Pahang) sangat bersetuju dengan cadangan saya itu. Selepas seminggu komputer telah pun bersedia untuk digunakan di pejabat. Terima kasih banyak Tuan Pengetua atas sokongan dan kepercayaan kepada saya. Saya terus membeli buku Lotus-123. Saya belajar sendiri berdasarkan buku tersebut. Saya baca buku dan laksanakan latihan di komputer. Selang beberapa minggu sahaja saya telah menguasai perisian Lotus-123. Seterusnya saya membimbing Rosmah menyediakan lembaran gaji. Akhirnya Rosmah boleh berdikari menyediakan lembaran gaji tersebut. Kini SMK Jengka 2 mendahului sekolah lain di Maran menyediakan lembaran gaji menggunakan komputer. Saya juga belajar sendiri menulis laporan menggunakan perisian Word Star. Kemahiran dalam Lotus-123 didalami lagi hingga mampu menulis macro untuk menjalankan analisa dengan lebih pantas lagi. Pada waktu itu kebolehan saya dalam Lotus-123 telah mula diketahui oleh pegawai di JPNP. Maka saya sering dipanggil oleh pegawai di JPNP untuk mengajar perisian Lotus-123 kepada guru-guru di negeri ini.


Menganjurkan seminar teknik mengajar dan belajar

Kami selalu memanggil guru sekolah lain untuk memberi ceramah teknik belajar dan menjawab soalan. Antara penceramah yang dipanggil ilan Encik Daun bin Talib (kini kpp Pusat Sumber, Beserah). Encik Daud adalah seorang guru yang berpengalaman luas dalam mengajar mata pelajaran Geografi. Hari itu saya mengundang guru geografi sekolah lain ikut serta. Antara yang hadir ilah Cikgu Normah (kini pengetua SMK Jengka 10). Memang sambutan sangat menggalakkan. Panduan yang diberikan pada hari tersebut sangat berfaedah kepada guru di sekitar Jengka dan pelajar sekolah ini juga. Kami berjaya menjemput ramai guru berpengalaman dalam berbagai mata pelajaran dari sekolah lain. Inilah satu usaha tambahan yang membantu kecemerlangan pelajar.


Gotong royong membina kelengkapan perpustakaan dan gelanggang tenis
Saya masih ingat lagi kami bergotong royong membina kaunter pinjaman buku, meja belajar di perpustakaan. Pada waktu itu peruntukan perpustakaan sangat terhad.Kami mengambil tindakan bertukang sendiri. Pakcik Setapa seorang jaga sekolah ini handal dalam kerja tukang kayu, maka dialah yang menjadi rujukan kami semua. Usaha kami berjaya diisiapkan selepas kami bertukang hingga beberapa malam. Orang kuat yang menerajui kerja itu ilah Awang Satip, seorang guru yang ringan tulang.

Jadual Waktu

Sebagai GPK, tugas merangka, mengurus dan membina jadual waktu mengajar guru adalah tanggungjawab saya. Saya dibantu oleh beberapa orang AJK jadual. Saya memang ada kemahiran membina jadual waktu. Sewaktu di SMK Jerantut, saya adalah setiausaha AJK Jadual Waktu. Oleh itu saya berani melaksanakan tugas ini. Saya juga tahu beberapa orang guru yang suka curi tulang, lambat masuk kelas dan ada juga yang berani tidak masuk kelas. Saya tidak sampai hati nak beritahu Pengetua. Saya tanya Pengetua nak ajar pelajaran apa? Pengetua ketika itu ialah Encik Rahim Muhamad. Beliau kata mahu mengajar mata pelajaran Sivik. Saya aturkan supaya Pengetua mengajar Sivik di kelas yang hujung sekali. Untuk sampai ke kelas itu Pengetua terpaksa menyusuri koridor melintas beberapa kelas. Saya aturkan guru yang culas itu mengajar di kelas sepanjang laluan Pengetua. Selepas beberapa kali Pengetua masuk kelas, beliau mula perasan ada guru yang lambat masuk kelas. Kini Pengetua tahu siapa yang curi tulang. Guru yang curi tulang itu ditegur oleh Pengetua. Sejak itu kes curi tulang dan lambat masuk kelas berjaya dibanteras. Saya tidak melaporkan tetapi memberi lorong kepada Pengetua menyiasat sendiri.


Selama tiga tahun setengah terasa sangat sekejap. Kami bekerja bersama dan bergembira bersama. Dalam tempoh itu tiga kali bertukar Pengetua. Dalam tempoh itu keputusan peperiksaan PMR dan SPM sekolah kami antara yang terbaik di negeri Pahang. Saya dapat bergaul dan bekerja dengan seronok. Kami tetap menjalankan tugas kami walaupun pengetua silih berganti. Saya tidak terasa bahawa saya adalah Guru Penolong Kanan. Guru boleh menerima saya macam rakan mereka sahaja. Saya dapat merasakan terjelma di kalangan kami sikap;

ü Sedia berkorban
ü Kemesraan
ü Menghulur kerjasama
ü Semangat gotong royong
ü Suka kepada aktiviti rekreasi dan kembara yang mencabar.



Tanggal 6 Oktober 1988 saya tinggalkan SMK Jengka 2 kerana mengikuti kursus di Jepun selama satu tahun setengah. Boleh jadi kecemerlangan SMK Jengka 2 telah memberi banyak kredit kepada saya untuk memperolehi Biasiswa Mombusho ke negara mata hari terbit itu. Sewaktu hendak meninggalkan Felda Jengka 2, ramai ibu bapa berpesan agar saya kembali bertugas di SMK Jengka 2. Saya senyum sahaja. Saya tidak mahu berjanji.

Sekali sekala saya berjumpa dengan Sobri (kini Guru Kanan Sains & Matematik di SMK Desa Jaya) , Ustaz Baha (kini di JPNP), Ustaz naim (kini di PPD Rompin), Sofi (kini Guru Besar SK Lepar Hilir 2), Abang Aji (kini guru berijazah sarjana di Kedah), Awang Satip (kini Guru Besar SK Seri Tualang, Temerloh), Bajuri (kini guru cemerlang di SMK Jengka 10), Mamat Sulong (Guru Penolong Kanan di Terengganu) dan Razak (kini Penolong PPD Jerantut). Kini kami semua telah bertugas di tempat lain. Apabila berjumpa, kami akan bercerita panjang. Semua kami mengatakan seronok bertugas di Jengka 2. Saya berjumpa dengan cikgu Wan Khamisah (kini guru kaunseling di SMK Jengka 6). Sejak tukar dari Jengka 2, Wan telah bertugas di banyak sekolah di Pahang dan Terengganu. Wan kata, “Saya tak jumpa dah keseronokan bekerja seperti di Jengka 2 dulu”.

Selama tiga tahun lebih itu, saya bekerja bawah tiga orang pengetua. Setiap orang ketua itu ada stail masing-masing. Saya boleh menyesuaikan diri, membantu mereka, akur kepada mereka dan ada kalanya saya memberi cadangan. Semua yang saya cadangkan itu mendapat persetujuan. Ingat!, jangan laksanakan apa yang tidak dipersetujui. Bijak mengikut akan mendapat banyak faedahnya (bukan untuk kepentingan diri). Ingat!, jangan melangkah mendahului ketua dan jangan tertinggal jauh di belakang. Saya harungi tempoh yang mencabar itu dengan tabah hingga mendapat kemenangan kepada sekolah dan kemajuan kerjaya sendiri.

Setiap cabaran yang ditempuhi akan meninggalkan kenagan yang manis. Sewaktu menempuhinya terasa sangat mencabar tetapi ditempuhi juga. Sewaktu berusaha terasa sangat pahit tetapi buahnya sangat manis.

Di mana sahaja kita berada, di situlah kita mencipta keseronokan kerja dan menempa kejayaan.

Semoga Allah memberkati usaha kita.


Sila kenali SMALL WIN dan BIG JUMP yang terkandung dalam cerita ini.

3 comments:

  1. Salam tuan, saya membacanya dengan rasa terharu. Komitmen tuan terhadap tugas amatlah dihargai, dan terbukti anak-anak FELDA ramai yang berjaya.... Saya tidak boleh bayangkan bagaimana sukarnya tuan mengajar mata pelajaran yang memerlukan penggunaan elektrik pada ketika itu. Bagi guru-guru dibandar ramai yang tidak mengajar bila sekolah mengalami gangguan elektrik. Saya doakan tuan keamanan dan murah rezeki....

    ReplyDelete
  2. Maaf tuan, saya ingin mendengar lagi pengalaman tuan masa kini, saya kira sudah pasti tuan tidak lagi berada di Jengka 2. Terima kasih.

    ReplyDelete